Saturday, 1 February 2014

Derita Penyakit Gangguan

Oktober 2012....

Waktu itu Puteri baru berada di peringkat kedua trimester kehamilan.  Kandungan itu adalah anak Puteri yang ketiga, sembilan tahun setelah anak kedua Puteri dilahirkan.  Puteri amat bersyukur dengan kehamilan ini.  Puteri dan suami datang dari keluarga yang agak besar; jadi kami rasakan keluarga kami adalah kecil dengan dua cahaya mata sahaja. Syukur ke hadrat Allah yang mengabulkan doa kami dan mengurniakan rezeki kepada kami, walaupun Puteri dan suami hampir menginjak ke usia 40 tahun.

Sehari sebelumnya Puteri berasa tidak sedap badan.  Badan terasa agak letih dan tidak bermaya daripada biasa.  Semalamnya, Puteri baru berjumpa ayah dan ibu Puteri dan dua orang adik Puteri, Ikhsan dan Feezo.  Sewaktu berjumpa mereka, dari kejauhan hidung Puteri terbau bauan yang wangi namun agak keras menusuk.  Ternyata bauan itu dari Ikhsan. 

"Ini minyak kasturi. Ustaz Fakhri pesan pakai untuk elakkan gangguan jin atau makhluk halus," Ikhsan menerangkan sambil mengunjukkan pergelangan tangannya kepada Puteri, seolah-olah mahu Puteri menghidu bauan itu dari pergelangan tangannya.

"Pergilah jauh-jauh, busuk...." Balas Puteri seraya menjauhkan diri daripadanya.  Sepanjang pertemuan dengan keluarga Puteri, Puteri berasa tidak selesa kerana badan terasa lemah.  Kepala juga berdenyut-denyut kerana haruman itu terlalu menyesakkan dan menusuk deria bau Puteri. 

Setelah menghantar anak ke kelas tambahan malam itu, Puteri terbaring.  Kali ini Puteri benar-benar rasa tidak sihat.  Pandangan Puteri berpinar-pinar... Buat ke sekian kalinya, Puteri meluru ke bilik air.  Lambakan sisa makanan yang tidak hadam telah habis Puteri keluarkan, kali ini pula diganti dengan air jernih yang keluar memancut-mancut dari mulut Puteri.  

Dua bulan sebelum itu, Puteri dimasukkan ke hospital kerana didapati menghidap hyperemersis gravidarum iaitu muntah yang berlebihan semasa hamil.  Mungkinkah kali ini juga begitu?  Puteri tertanya sendiri dalam keadaan separuh sedar.

Tidak lama selepas itu Puteri dikejutkan oleh deringan loceng.  Ibu, ayah, Ikhsan dan seorang lelaki yang tidak Puteri kenali telahpun berada di hadapan rumah.

"Puteri sakit? Ibu risau.  Ibu minta Ikhsan panggilkan Ustaz Fakhri untuk datang mengubat Puteri," ibu Puteri terus melontarkan kata-kata dengan wajah yang penuh kerisauan sebaik sahaja Puteri membuka pintu.  Dalam pertemuan pada petang tersebut, ibu Puteri merasakan bahawa wajah Puteri kelihatan pucat.  Kerana berasa risau, ibu dan ayah Puteri saling berganti menghantar SMS menanyakan keadaan Puteri sebaik saja selesai pertemuan kami. 

Lazimnya Puteri tidak menceritakan apa-apa yang boleh mendatangkan kerisauan kepada keluarga, tetapi kali itu entah mengapa, Puteri membalas SMS mereka dengan mengatakan bahawa Puteri sangat lemah kerana terus-terusan muntah.  Ayah dan ibu Puteri secara senyap-senyap mengaturkan kedatangan Ustaz Fakhri melalui adik Puteri, Ikhsan pada malam itu juga.

Puteri menjemput keempat-empat mereka masuk walaupun pada hakikatnya badan Puteri amat lemah tidak bermaya.

Jam menunjukkan pukul 10.20 malam.  Ustaz Fakhri kelihatan menundukkan kepalanya seraya mulutnya terkumat-kamit seperti membaca sesuatu.  Seusai membaca, Ustaz Fakhri menoleh ke arah Ikhsan lalu berkata kepadanya "Ruqyah", Ikhsan mengangguk.  Ustaz Fakhri mengeluarkan sepasang sarung tangan berwarna hitam daripada beg sandangnya dan terus memakainya.  Khair yang menjadi suami Puteri yang sah semejak 13 tahun yang sudah sudah arif tentang apa yang akan bakal berlaku selanjutnya.  Khair meminta Ustaz Fakhri dan Ikhsan untuk beredar ke ruang tamu.

Seterusnya, apa yang berlaku adalah sesuatu yang amat lazim terjadi kepada Puteri setiap kali berjumpa dengan mana-mana Ustaz yang mengamalkan kaedah Pengubatan Islam - Ustaz membacakan ayat-ayat Quran, Puteri menjerit, ketawa mengilai, menangis, memberontak, membentak sebelum menangis mengongoi semula. Keadaan demikian terjadi kerana di dalam keadaan di mana jasad Puteri dikuasai oleh entiti makhluk halus, Puteri akan menjadi sensitif kepada ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan kepada Puteri. Kesemua perbuatan yang Puteri lakukan sepanjang tempoh pengubatan, Puteri sedar; cumanya, Puteri tidak dapat mengawal diri daripada tidak melakukan aksi-aksi yang sebegitu.

Kali ini tidak terkecuali.  Ayat-ayat yang dibaca oleh Ustaz Fakhri sama seperti Ustaz-Ustaz yang lain. Pada malam itu, setiap ayat Quran yang dibaca Ustaz Fakhri menimbulkan kepedihan yang amat sangat di dada Puteri.  Setiap kali Ustaz Fakhri memicit kedua-dua ibu jari kaki Puteri, Puteri rasakan seolah-olah jantung Puteri disentap-sentap, diramas-ramas, dikoyak dan dirobek. Terjadi sedikit pergelutan.  Namun begitu, selepas itu keadaan menjadi lebih terkawal.  Kepenatan, Puteri terbaring di atas lantai.  Melihat Puteri tidak lagi bertindak agresif, Ustaz Fakhri terus melaungkan azan.  Pada saat itu, laungan azan oleh Ustaz Fakhri amat menyeksakan setiap inci jasad Puteri.  Puteri menangis kesakitan.  Pandangan Puteri berpinar-pinar..... Mata Puteri kemudiannya terpejam, Puteri tidak sedarkan diri..................

Sebaik sahaja Puteri membuka mata; ibu, suami Puteri dan Ikhsan sedang duduk mengelilingi Puteri.  Ayah Puteri dan Ikhsan berada di satu sudut lain di rumah.  "Alhamdulillah, wajah Puteri dah cerah," komen ibu Puteri sambil tersenyum. 

Puteri bangun perlahan-lahan lalu cuba mengamati keadaan diri Puteri.  Biarpun masih lemah, tetapi tidak seperti keadaan Puteri sewaktu mula-mula tadi. Puteri dapat rasakan tubuh Puteri lebih ringan berbanding sebelumnya.  "Alhamdulillah," bisik Puteri. 

Melihat keadaan Puteri semakin pulih, Ustaz Fakhri mengeluarkan sebotol air mineral dan satu lagi botol yang berisi cecair berwarna kuning keemasan.  "Air ini telah diruqyahkan dengan surah-surah pilihan," ujar Ustaz Fakhri seraya menunjukkan kepada botol air tersebut. "Baca surah Al-Fatihah dan selawat Nabi sebelum minum.  Cecair kuning yang dalam botol ini pula, cuka epal.  Cuka epal ini amalan sunnah Nabi.  Seelok-eloknya Kak Puteri campurkan 2 sudu besar cuka epal ini ke dalam segelas air ruqyah dan minum campuran air tersebut." Ustaz Fakhri memberikan penjelasan tentang cara mengamalkan pengambilan air ruqyah itu.
 
 
 
 
Puteri hanya mengangguk.  Jam sudah menunjukkan lewat jam 11.40 malam.  Sebaik sahaja ibu dan ayah Puteri, Ikhsan dan Ustaz Fakhri beredar Puteri merebahkan badan ke atas katil.  Puteri betul-betul kepenatan, tetapi sekurang-kurangnya rasa loya yang memaksa seluruh isi perut Puteri untuk dikeluarkan menerusi saluran kerongkongan Puteri kini telah tiada lagi.  Setelah melalui pengalaman menjalani rawatan pengubatan Islam selama beberapa ketika sebelum ini, Puteri dapat menjangka apa yang akan Puteri rasakan setiap kali selesai rawatan. 
 
Lazimnya badan Puteri akan berasa sangat lemah, Puteri cuma akan terlantar di perbaringan selama lebih kurang sehari.  Rasa letih dan lemah itu, adalah beberapa kali ganda lebih tinggi daripada rasa letih setelah berlari 10 km atau berenang 1 km.  Puteri kenal benar rasa kepenatan setelah berubat itu lebih tinggi berbanding aktiviti intensif senaman lain kerana Puteri telah beberapa kali mengambil bahagian dalam acara larian sejauh 10 km dan berlatih berenang yang sekurang-kurangnya mencapai jumlah jarak 800m secara bersendirian.  
 
Sebelum melelapkan mata malam itu, Puteri berdoa,
 
"Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Besar lagi Maha Mengetahui segala sesuatu.  Sekiranya Kau datangkan penyakit ini agar aku dapat merehatkan aku yang terlalu sibuk dengan urusan kerja dan keluarga, aku redha ya Allah.  Sekiranya kau datangkan penyakit ini agar aku sentiasa mengingati dan tidak lupa kepadaMu, aku redha ya Allah.  Ya Allah, masukkanlah aku dalam golongan hamba-hambaMu yang Kau redhai dan rahmati dan bukan dalam golongan orang-orang yang Kau murkai."
 
Puteri terkenangkan Ikhsan.  Beberapa tahun dahulunya Ikhsan menderita terkena penyakit gangguan yang teruk.  Alhamdulillah, keadaan Ikhsan kini hampir kembali normal setelah melalui pengalaman diubati oleh para pengamal pengubatan Islam. Insya Allah pada masa dan entri yang lain, Puteri akan bercerita lebih lanjut tentang pengalaman gangguan yang dialami oleh Ikhsan.   
 
Sebelum Puteri akhiri catatan pada kali ini, Puteri ini berkongsi tentang fadhilat mengamalkan bacaan ayat-ayat Manzil setiap kali selepas solat Subuh dan Asar.  Dengan izin Allah, ayat-ayat ini mampu menangkis serangan dan gangguan jin serta sihir.
 
 
Ya Allah, Puteri bukanlah hambaMu yang terbaik di kalangan yang terbaik.  Dosa Puteri menggunung sekiranya tidak Kau Ampunkan.  Anugerahkanlah Puteri dengan kekuatan agar Puteri dapat menjalani kehidupan Puteri ini dengan penuh keimanan, keredhaan dan ketaqwaan.  Bimbinglah Puteri agar Puteri sentiasa dapat bersangka baik denganMu dalam apa juga keadaan sepertimana yang disebutkan oleh Baginda Rasulllah s.aw. dalam sebuah Hadis Qudsi di mana Allah berfirman,
 
"Aku sebagaimana prasangka hambaKu.  Kalau ia berprasangka baik, maka ia akan mendapat kebaikan.  Bila ia berprasangka buruk, maka keburukan akan menimpanya."
 
Seperkara lagi, harus diingatkan bahawa makhluk halus dan gangguan atau sihir yang ditimpakannya cuma akan berlaku dengan keizinan Allah.  Hakikatnya mereka tidak berkuasa.  Hanya Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa dan kerana itu hanya kepadaNyalah seharusnya seluruh pengharapan kita digantungkan. 
 
Iya, seharusnya begitulah.....
 
 
 



 

Sunday, 26 January 2014

Satu Keputusan...

Walaupun Puteri dikelilingi oleh rakan-rakan yang rata-ratanya merupakan pengguna teknologi maklumat yang tegar melalui medium seperti laman blog sendiri, facebook, twitter, instagram, whatsapp dan sebagainya, Puteri sememangnya bukanlah seorang pengguna teknologi maklumat yang aktif seperti mereka. 
 
Disebabkan faktor inilah hubungan Puteri dan rakan-rakan agak terbatas kepada hubungan secara fizikal sahaja dan ianya tidak berlanjutan di alam maya.
 
Biarpun Puteri agak selesa dengan keadaan Puteri sekarang yang tidak begitu "mesra" alam maya, Puteri bagaimanapun telah mengambil keputusan untuk sekurang-kurangnya membiasakan diri dengan dunia cyber melalui catatan-catatan blog.
 
Keputusan ini telah Puteri ambil kerana Puteri mahu mengabadikan pengalaman-pengalaman yang Puteri lalui dalam kembara Puteri untuk mengenal diri dan Allah; paling tidak untuk diri Puteri sendiri dan mereka yang rapat dengan Puteri......
 
Dan dengan itu, bermulalah satu catatan yang Puteri mulakan dengan kalimah suci;

 

Saturday, 25 January 2014

Pencarian Puteri......

Puteri tidak tahu secara tepat bila pencarian Puteri bermula.  Mungkin tahun lepas, dua, tiga atau mungkin sahaja beberapa tahun dahulu.  Seingat Puteri, seumur hidup Puteri, Puteri rasakan bagai ada sesuatu yang tidak lengkap dalam kehidupan Puteri..... 
 
Sebagai permulaan, biar Puteri perkenalkan diri.  Puteri sebenarnya hanyalah rakyat biasa, individu biasa, wanita yang bekerjaya biasa-biasa sahaja.  Puteri juga berasal dari keluarga yang sederhana.  Namun demikian, Puteri bersyukur dikurniakan dengan keluarga yang bahagia, yang menekankan nilai-nilai murni dan keagamaan biarpun Puteri sebenarnya bukanlah pelajar dari aliran agama; begitu juga dengan kedua ibubapa Puteri.  Sejak kecil Puteri dididik dengan tegas tentang ibadah terutamanya solat dan puasa.  Puteri juga bersyukur kerana walaupun Puteri merasakan bahawa pencapaian akademik Puteri sangat-sangat biasa, Puteri masih diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran. 
 
Seperkara tentang keluarga Puteri, biarpun dididik dengan nilai-nilai keagamaan, Puteri juga didedahkan dengan pendidikan muzik secara formal.   Adik-beradik Puteri juga begitu.  Walaupun kami tidak pernah secara khususnya menjadikan bidang seni sebagai punca rezeki utama kami, setidak-tidaknya kami boleh membaca not-not muzik dan bermain alat muzik terutamanya gitar dan piano untuk menghiburkan hati sendiri.  Tetapi bukan ini perkara yang ingin Puteri bincangkan dan ketengahkan.  Yang ingin Puteri bicarakan ialah pencarian Puteri. 
 
Mungkin, Puteri rasakan pencarian Puteri akan berakhir setelah Puteri menamatkan pengajian Puteri.  Namun tidak.... Masih terasa kekosongan dalam jiwa.  
 
Buat beberapa ketika, setelah menjawat pekerjaan yang tetap, Puteri sibuk dengan tugasan.  Di dalam kesibukan itu, Puteri sempat mencuri waktu untuk melakukan kerja-kerja sambilan dengan tujuan menambah pendapatan.   Benar, waktu itu, pendapatan Puteri meningkat sekali ganda.  Adakah Puteri bahagia?  Tidak, Puteri masih mencari... Puteri juga berusaha keras untuk memperbaiki pangkat dan jawatan yang Puteri sandang.  Puteri berjaya mengecapi hasil kerja keras Puteri.  Namun, kebahagiaan yang Puteri cari masih belum berakhir.....
 
Adakah yang Puteri cari itu kebahagiaan melalui keluarga yang Puteri bina sendiri dengan ikatan perkahwinan yang sah?  Mungkin juga, namun hakikatnya, walaupun Puteri bahagia dengan kehadiran suami dan cahaya mata dalam hidup Puteri tetapi Puteri tetap dapat merasakan kekosongan itu.....
 
Puteri cuba mengisi kekosongan itu dengan pencapaian dalam aktiviti riadah.  Benar, sewaktu kecil, Puteri seringkali sakit.  Hospital seakan menjadi rumah kedua Puteri.  Dengan itu, Puteri dikecualikan dari sebarang kegiatan senaman dan sukan.  Puteri hanya dapat merasakan keriangan waktu pendidikan jasmani di awal-awal tahun persekolahan. Selebihnya, Puteri cuma melihat keriangan kawan-kawan dengan penuh rasa cemburu di hujung padang sekolah. Sesungguhnya kuasa Allah tiada siapa dapat menduga.  Biarpun Puteri masih sakit, keadaan fizikal Puteri bertambah baik.  Buat pertama kalinya Puteri dapat merasakan keseronokan berlari.  Puteri juga gembira kerana boleh melakukan aktiviti berenang setelah menghadiri kelas berenang. 
 
Gembira dengan perubahan fizikal diri yang positif, Puteri kerap memasuki acara larian.  Puteri bangga kerana dapat melakukan aktiviti yang dahulunya tidak pernah Puteri termimpi dapat melakukannya. Puteri berasa puas dengan pencapaian Puteri.  Namun, jauh di sudut hati, Puteri dapat rasakan bahawa kegembiraan Puteri itu bukan kebahagian hakiki yang Puteri cari.....
 
Lalu apa? 
 
Adalah menjadi kelaziman Puteri sedari kecil untuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran di waktu senggang. Waktu yang menjadi kesukaan Puteri adalah membaca Al-Quran dan berzikir kerana Puteri rasa sangat tenang setiap kali selesai melakukannya. 
 
Puteri mula memikirkan perkara ini dengan lebih mendalam.  Adakah kebahagiaan yang Puteri dapati setiap kali selesai solat, membaca Al-Quran dan berzikir itu seharusnya mempunyai jangka hayat yang pendek seperti juga aktiviti-aktiviti yang telah Puteri lakukan seperti di atas dan juga pencapaian duniawi Puteri?
 
Pengetahuan agama Puteri terbatas berdasarkan sukatan pelajaran sekolah yang bukan beraliran agama.  Jadi, semestinya pengetahuan agama Puteri agak terhad, walaupun Puteri gemar membaca buku-buku dan artikel-artikel keagamaan dan mengikuti ceramah agama di media seperti televisyen, radio (radio IKIM semestinya stesyen radio pilihan Puteri) dan youtube. 
 
Melalui pembacaan dan ceramah yang Puteri ikuti, adalah jelas bahawa tujuan sebenar manusia untuk hidup di muka bumi ini adalah seperti Firman Allah s.w.t. dalam Surah Az-Zariyat yang bermaksud:
 
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"
(Surah Az-Zariyat, ayat 56)
 
Ramai para ustaz yang membahaskan maksud ayat di atas.  Konsep ibadah yang dihuraikan tidaklah terbatas kepada ruang lingkup ibadah secara khusus tetapi ia meliputi konsep yang lebih luas, yang mencakupi cara hidup yang seharusnya ditumpukan kepada rasa ketundukan dan kehambaan kepadaNya.
 
Seorang kenalan Puteri yang merupakan anak saudara kepada seorang ulama terkenal di Pantai Timur pernah memberitahu Puteri agar mengamalkan membaca surah Al-Mulk setiap malam.
 
Setiap kali membaca surah tersebut, Puteri akan membaca terjemahannya. Dalam konteks perbincangan Puteri di atas, ternyata bahawa penerangan lebih lanjut terkandung di dalam Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
 
"Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan. Dan dia Mahakuasa atas segala sesuatu.  Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu  yang lebih baik amalnya.  Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun ."
(Surah Al-Mulk, ayat 1-2)
 
Ternyata hidup insan di muka bumi ini adalah ujian.  Puteri cuba memikirkan maksud ayat-ayat tersebut di atas dan mengaitkannya dengan kehidupan Puteri.  Menurut pendapat Puteri, Puteri punya segala-galanya walaupun Puteri bukan golongan orang berada.  Puteri punya keluarga yang bahagia, punya pendapatan dan kerjaya yang tetap, dikurniakan dengan nikmat kesihatan, juga bertuah dianugerahkan sahabat-sahabat yang baik, penyayang dan saling menasihati Puteri.  Puteri punyai segala, namun mengapa rasa kekosongan itu tetap hadir di jiwa Puteri? 
 
Puteri rasai ketenangan setiap kali selesai solat, berzikir dan membaca Al-Quran.  Puteri dambakan ketenangan hakiki yang dapat menghapuskan rasa kekosongan itu.  Mungkin itu jawapannya.  Mungkin Puteri perlu mendekatkan diri dengan Allah.
 
"Ya Allah!  Hanya kepadaMu aku berharap.  Tunjukkan aku jalan yang dapat mendekatkan aku kepadaMu, jalanMu yang benar dan lurus..." doa Puteri.
 
Lalu bagaimana dan cara apa?
 
Puteri redha.  Puteri pasrah.  Puteri serahkan segala-galanya kepada Allah dalam kembara dan pencarian Puteri ini........